Orang yang batal puasanya harus
melakukan empat perkara:
1.
Qadha’: Kewajibannya umum ke atas
setiap Muslim Mukallaf yang meninggalkan puasa dengan uzur ataupun tanpa uzur.
Umpamanya, perempuan yang datang darah haidh harus mengqadha’kan puasanya,
demikian pulalah orang yang murtad. Adapun orang kafir, anak kecil dan orang
gila tidak wajib mengqadha’kan puasanya. Dan hukum mengqadha’kannya tidak wajib
berturut-turut, tetapi bolehlah mengqadhakannya sesuka hatinya sama ada
terpisah-pisah ataupun terkumpul.
2.
Kaffarah: Kewajibannya berlaku hanya
ke atas orang yang bersetubuh pada siang Ramadhan, selainnya tidak dikenakan
kaffarah. Adapun kaffarahnya ialah memerdekakan seorang hamba. Kiranya ia tidak
mempunyai wang untuk menebus seorang hamba, maka berpuasalah ia dua bulan
berturut-turut. Jika ia tidak mampu, maka hendaklah ia memberi makan kepada 60
orang miskin setiap seorang satu mud.
3.
Berhenti dari makan-minum dan
sebagainya pada sisa harinya. Ini diwajibkan ke atas orang yang menderhaka
perintah Allah, kerana tiada berpuasa ataupun kerana cuai pada perintah puasa
(berbuka tanpa sebab atau seumpamanya). Maka hendaklah ia berhenti dari
makan-minum, apabila ternyata ada seorang adil yang menyaksikan anak bulan pada
hari syak (iaitu 30 Sya’ban), sedangkan orang ramai semuanya tiada berpuasa
pula, maka hendaklah sekaliannya berhenti dari makan-minum dan sebagainya. Bagi
orang yang sedang dalam pelayaran, berpuasalah adalah lebih utama daripada
berbuka,
4.
Mengeluarkan fidyah, iaitu bagi
orang yang mengandung atau ibu yang masih menyusukan bayinya, kerana khuatir
kemudharatan ke atas bayi jika ia berpuasa. Maka dikeluarkan fidyah kerana
tiada berpuasa itu, setiap hari satu mud gandum/beras kepada seorang miskin,
kemudian puasa itu diqadha’kan. Begitu pula dengan orang tua yang sudah lanjut umurnya,
tiada mampu untuk berpuasa, dikeluarkan fidyah satu mud juga.
(postingan ini saya copy dari terjemah ihya ulumudin bahasa melayu malaysia)