Adapun kewajiban lahiriah puasa enam
perkara:
1.
Meneliti datangnya permulaan bulan
Ramadhan dengan rukyah, iaitu dengan melihat anak bulan. Jika tiada terlihat,
maka genapkanlah bulan Sya’ban 30 hari. Kami maksudkan, rukyah atau melihat
itu, mestilah melalui ilmu pengetahuan dan ini dapat disahkan dengan penyaksian
seorang adil (orang yang terkenal lurus perjalanannya dan tiada diragui boleh
berbohong). Ini kalau penyaksian maksudnya Ramadhan. Tetapi untuk
penyaksian permulaan Syawal atau anak bulan Syawwal, dihukumkan tidak sah,
melainkan dengan dua orang saksi adil, mengambil hukum yang lebih berat untuk
menyempurnakan ibadat puasa. Barangsiapa mendengar seorag adil dan ia percaya
dengan yakin apa yang disaksikannya tentang anak bulan itu tanpa apa-apa
keraguan lagi bagi dirinya, maka wajiblah dia berpuasa meskipun kadhi atau
hakim tiada menghukumkan sah penyaksiannya itu.
2.
Niat puasa pada setiap malam -
mestilah dia berniat yang khas dan tetap bagi kefardhuan puasa kerana Allah
Ta’ala.
3.
Menahan diri dari menyampaikan
sesuatu benda ke dalam perutnya dengan sengaja tidak terlupakan dirinya sedang
berpuasa. Kalau dilakukan yang demikian, maka rosaklah puasanya; iaitu dengan
makan atau minum, memasukkan sesuatu melalui lubang hidung atau dubur. Tidak
batal dengan bersuntik, berbekam, bercelak, memasukkan pembersih ke dalam
telinga atau melalui zakar ataupun apa yang sampai ke perut tanpa disengajakan
seperti debu jalan, ataupun seekor lalat termasuk ke dalam perutnya. Kalau air
masuk ke dalam perut disebabkan berkumur-kumur tidak membatalkan puasa, kecuali
jika dia terlalu berlebihan-lebihan dalam berkumur-kumur, maka perbuatan serupa
membatalkan disebabkan kecuaian. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan
dengan sengaja. Adapun perkataan tidak terlupa - dimaksudkan supaya ia
terselamat dari lupa, kiranya ia terlupa, maka tidaklah dikira batal puasanya.
4.
Menahan diri dari persetubuhan
tetapi kiranya dia bersetubuh dengan terlupa maka tiadalah dikira telah
berbuka. Kiranya dia bersetubuh di sebelah malam, ataupun dia bermimpi,
sehingga dia menjadi seorang junub di sebelah paginya, maka tiadalah ia
dikirakan berbuka.
5.
Menahan diri dari sengaja
mengeluarkan air mani dengan tujuan untuk bersetubuh ataupun tidak bersetubuh,
sebab kelakuan yang demikian itu adalah membatalkan puasa. Bercium-ciuman
dengan isteri atau bercumbu-cumbu dengannya tiada membatalkan puasa selagi
tiada mengeluarkan mani, tetapi perbuatan semacam itu adalah makruh hukumnya
kecuali jika dia seorang yang sudah tua, atau orang yang dapat menguasai
dirinya (tidak takut keluar mani) maka bolehlah dia bercium-ciuman. Walau
bagaimanapun meninggalkan kelakuan serupa ini adalah utama.
6.
Menahan diri dari muntah, sebab
sengaja mengeluarkan muntah dari perutnya membatalkan puasa tetapi kalau
termuntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah batal puasanya. Dan sekiranya
tertelan kahak dari kerongkongnya atau dari dadanya, tiadalah batal puasanya,
kerana keringanan sebab tidak dapat ditahan, melainkan kalau dia menelannya
sesudah kahak itu sampai ditengah mulutnya maka hal itu akan membatalkan
puasanya.
(postingan ini saya copy dari terjemah ihya ulumudin bahasa melayu malaysia)